BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar selepas lebih lapan jam memberi keterangan kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, sebentar tadi.
Presiden BERSATU itu dilihat keluar pada jam 8.19 malam, sebelum mengadakan sidang media dengan kumpulan pemberita.
Turut kelihatan kumpulan peguam yang diketuai Datuk K Kumaraendran dan pembantu khas yang dibenarkan menemaninya.
BH difahamkan, Muhyiddin diberi kebenaran keluar atas faktor kesihatan beliau.
Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu tiba di Ibu Pejabat SPRM pada jam 7.18 pagi tadi bagi menjalani prosedur standard SPRM berkaitan pendakwaan berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) di Mahkamah Sesyen.
Terdahulu, SPRM mengesahkan Muhyiddin ditahan pada jam 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.
Dalam satu kenyataan hari ini, SPRM juga mengesahkan badan itu sudah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur esok.
Muhyiddin, 75, bakal menghadapi beberapa pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1) b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Razak berdepan pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.