SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada jam 1 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas beliau hadir untuk dirakam percakapan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.
Sehubungan itu, SPRM juga telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh Muhyiddin di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023.
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan bahawa Muhyiddin akan didakwa esok.
Azam dilaporkan berkata, ketika ini bekas perdana menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan, selepas Pengerusi Perikatan Nasional itu tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini, pada 11.15 pagi tadi.
Semalam, Ahli Parlimen Pagoh itu, menafikan dakwaan beliau ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor, seperti dilaporkan beberapa portal media lapor Astro AWANI.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.