‘Tak demokratik, kebudak-budakan’ – PSM kecam P. Pinang kosongkan 4 kerusi

0
161

PARTI Sosialis Malaysia (PSM) mengecam keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang untuk meluluskan usul mengosongkan kerusi yang disandang dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Pengerusi PSM, S. Arutchelvan menyifatkan langkah itu sebagai ‘sangat tidak demokratik, kebudak-budakan dan kezaliman’ serta memberi peringatan akan memberi imej buruk kepada Pakatan Rakyat (PH) Pulau Pinang.

“PH Pulau Pinang sangat stabil dan mereka tidak perlu mengambil tindakan sebegini kerana mereka hanya akan hilang sokongan, dapat publisiti buruk dan tetapkan duluan yang buruk.

“Ini menunjukkan suatu pihak boleh bertindak serendah itu untuk menunjukkan keangkuhan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor MalaysiaKini.

Dua ADUN tersebut adalah Khalid Mahtab Ishaq (Bertam) and Zolkifly Lazim (Teluk Bahang). Mereka menang kawasan masing-masing ketika mewakili Bersatu dan bertanding di bawah tiket PKR pada PRU 2018.

Semalam, DUN Pulau Pinang meluluskan usul agar kerusi yang dipegang mereka serta Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh) dikosongkan.

Afif dan Zulkifli pula bertanding ketika menjadi ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum menyertai Bersatu pada 2020.

Zulkifli dipecat daripada PKR manakala Afif memutuskan untuk keluar parti selepas keahliannya digantung.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, usul itu dibawa susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan Perkara 14A perlembagaan negeri yang melarang wakil rakyat melompat parti.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan mengecam langkah itu.

Hamzah menyifatkannya sebagai salah guna kuasa dan berkata, Perkara 14A perlembagaan negeri tidak terpakai kepada Khalid dan Zolkifly kerana mereka tidak pernah keluar parti, atau menyertai parti lain.

Wan Saiful pula menganggapnya sebagai ‘titik hitam dalam sejarah negeri Pulau Pinang’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here