2 bot nelayan ditahan tiada lesen, gajikan PATI

0
52

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

 

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang menahan dua buah bot nelayan tempatan tanpa lesen dan melanggar syarat kerana mengajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pukul 10.41 pagi dan 10.20 malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, penahanan itu dibuat oleh kapal dan bot Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin OP PERTIWI dan OP TANJUNG.

Menurut beliau, penahanan pertama dilakukan selepas pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan kelas C yang berpangkalan di Bagan Hutan Melintang, Perak di kedudukan 16.5 batu nautika barat daya Pulau Kendi.

Maritim menahan dua buah bot nelayan tempatan tanpa lesen dan melanggar syarat kerana mengajikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)

Katanya, pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun.

“Dua di antara kru bot itu gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah serta menggajikan kru warga asing.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu pemilik bot menggunakan warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
 

Maritim menahan seorang tekong dan dua kru warga Thailand serta seorang kru warga Myanmar berumur antara 23 hingga 63 tahun daripada salah sebuah bot berkenaan


Tambah beliau, penahanan bot nelayan kedua dilakukan pada kedudukan 0.61 batu nautika tenggara Gertak Sanggul yang berpangkalan di Jeti Teluk Kumbar dikendalikan oleh empat kru kesemuanya warga tempatan berumur antara 18 hingga 51 tahun.

Katanya, bot itu ditahan kerana gagal mempamerkan lesen serta tidak diusahakan sendiri pemiliknya dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.

“Kedua-dua bot serta kesemua kru ditahan bersama 500 kilogram hasil laut bagi bot nelayan kelas C dan lima kilogram hasil laut bagi bot kelas A seterusnya dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung dan jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggajikan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun amaran dan tangkapan telah dibuat.

“Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia,” katanya.
 
Ujar beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here