Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat, Belanjawan 2023 yang ditawarkan kerajaan perpaduan masih belum dapat menggarap secara komprehensif arah tuju yang jelas bagi memulihkan semula ekonomi negara secara lebih berkesan.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata demikian semasa berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini, selepas membuat perbandingan antara Belanjawan 2023 dan manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Saya membuat perbandingan Belanjawan Tambun dengan manifesto Pakatan Harapan. Terdapat banyak janji dalam manifesto PH yang tidak ditepati atau tidak disentuh langsung di dalam Belanjawan ini.
“Saya telah mendengar dan meneliti kandungan ucapan pembentangan Belanjawan 2023 dan mendapati keseluruhan Belanjawan 2023 yang ditawarkan oleh kerajaan campuran PH dan Barisan Nasional (BN) masih belum dapat menggarap secara komprehensif arah tuju yang jelas bagi memulihkan semula ekonomi negara secara lebih berkesan.
“Saya membuat perbandingan Belanjawan Tambun dengan manifesto Pakatan Harapan (PH). Terdapat banyak janji dalam manifesto PH yang tidak ditepati atau tidak disentuh langsung di dalam Belanjawan ini.
“Cukuplah jika saya sebutkan yang utama sahaja iaitu pertama, Dana Peruntukan Kawasan sama rata kepada semua wakil rakyat. Kedua, komitmen kerajaan menghapuskan kartel dalam sektor bahan makanan dan keperluan asas bagi membasmi kegiatan kaut keuntungan melampau.
“Ketiganya, janji-janji dalam bidang pendidikan seperti Program Pemansuhan Hutang bersasar khas kepada golongan miskin dan isi rumah B40, memperkenalkan Biasiswa B40 dan menambah peruntukan program sarapan percuma yang tidak disentuh dalam ucapan pembentangan,” katanya.
Muhyiddin mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berani mengakui janji-janji manifesto PH sekadar retorik politik?
“Bagaimana pula dengan janji-janji manifesto parti lain dalam kerajaan campuran? Ini termasuk janji Barisan Nasional untuk memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas di mana kerajaan akan mengkreditkan ‘top up’ secara automatik ke dalam akaun semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan,” soalnya.
Selain itu katanya, Muhyiddin berkata, ucapan Anwar yang juga Menteri Kewangan juga tidak komprehensif serta tidak menyentuh masalah sebenar rakyat di peringkat akar umbi.
“Yang digemari Tambun (Anwar) hanyalah bermadah. Rakyat tidak berminat untuk mendengar madah dan istilah yang digunakan oleh Tambun, tetapi lebih risau tentang keperluan asas dan jaminan masa depan ekonomi dan kebajikan mereka,” tegasnya.
Katanya, macamana rakyat akan berdepan dengan situasi perbelanjaan berganda menjelang pembukaan semula sekolah, ketibaan bulan puasa dan persediaan menghadapi Aidilfitri yang semakin hampir?
Semua itu ujarnya, terpaksa dilalui rakyat dalam keadaan beban kos sara hidup yang terus meningkat dan kadar inflasi yang tinggi.
“Kita tidak mendengar apakah penyelesaian sebenar kepada masalah kos sara hidup rakyat daripada pembentangan belanjawan ini,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.