Bersatu lapor SPRM kes MB, Exco Selangor dalam syarikat LLSB

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kedudukan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Izhar Hashim sebagai ahli lembaga pengarah syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB).

Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Mohd Idris Abdul Halim berkata, pelantikan Amirudin dan Izham di dalam LLSB dikhuatiri mewujudkan konflik kepentingan antara syarikat dan kerajaan negeri.

“Kalau diikutkan, ahli politik tidak sepatutnya dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat, lebih-lebih lagi Menteri Besar dan Exco Selangor sendiri. Jadi kerja penilaian, teknikal serta keberkesanan sesebuah projek sepatutnya dilakukan oleh agensi bertanggungjawab.

“Jadi apa keperluan melantik Menteri Besar dan Exco Selangor dilantik sebagai pengarah syarikat LLSB.

“Menteri Besar sendiri bukannya pakar yang boleh melakukan penilaian projek Selangor Maritime Gateway (SMG),” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berhubung perkara itu di pejabat SPRM Selangor di Shah Alam, semalam (Khamis, 2 Mac 2023).

Dalam pada itu, Mohd Idris, menggesa SPRM untuk segera melakukan siasatan terhadap dua pemimpin politik tersebut, sepertimana agensi berkuasa itu membuat siasatan terhadap beberapa ahli politik lain.

“Kita membuat laporan pada hari ini setelah mendapatkan pandangan daripada beberapa peguam yang menyatakan bahawa terdapat kesalahan undang-undang. Ini adalah untuk kepentingan rakyat, peruntukan projek SMG adalah satu amaun yang besar,” tegasnya lapor Agendadaily.

Terdahulu pada, Rabu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Mohd Shukor Mustaffa membuat laporan polis berhubung isu sama.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan kemudian memberitahu polis menyerahkan siasatan kepada SPRM kerana laporan berkenaan lebih sesuai disiasat pihak berkuasa itu apabila ia dikaitkan dengan elemen rasuah berhubung pelaksanaan projek tebatan banjir Sungai Klang yang dianggarkan berjumlah RM700 juta.