APMM tahan bot tempatan dikendali lima warga Myanmar

0
147

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan lima lelaki warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan diri, pada kedudukan 27 batu nautika barat laut Pulau Kendi, Georgetown semalam.

Pengarahnya Kapten Maritim Abd Razak Mohamed berkata pihaknya yang sedang menjalankan rondaan, telah mengesan bot nelayan kelas C sedang menangkap ikan dengan menggunakan pukat tunda dalam keadaan mencurigakan, pada 8.55 pagi sebelum membuat pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan ke atas bot itu mendapati, terdapat seorang tekong dan empat kru yang kesemuanya warga Myanmar berusia 20 hingga 35 tahun, yang kesemuanya gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit kelulusan penggunaan kru bukan warga tempatan yang sah.

“Malah pemilik bot iaitu warga tempatan juga disyaki melakukan kesalahan, kerana membenarkan warga asing tinggal dalam bot kepunyaannya dan gagal memasang alat pengesan vesel (VMS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd Razak berkata mereka ditahan kerana melakukan kesalahan menurut Akta Imigresen 1959/63, kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen, permit kelulusan penggunaan kru bukan warganegara yang sah, serta pemilik bot membenarkan warga asing tinggal di dalam bot kepunyaanya.

Beliau berkata pihaknya menyita bot, peralatan menangkap ikan dan 500 kilogram hasil laut untuk tindakan lanjut dan beliau memberi amaran kepada pengusaha atau pemilik bot kerana menggunakan warga asing tanpa izin.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here