Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
SPRM perlu siasat dana politik secara telus -

SPRM perlu siasat dana politik secara telus

PAS menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan secara telus bukan saja terhadap parti pembangkang malah parti kerajaan dalam membanteras rasuah politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, semua pihak juga diminta tidak menganggap tindakan SPRM membekukan akaun sesuatu parti sebagai bersalah kerana kadang-kadang kesalahan yang dilakukan itu tidak berkait dengan kewangan yang ada di dalam parti berkenaan.

“Sebagai contohnya, akaun UMNO suatu masa dahulu terdapat RM114 juta dan akhirnya apabila SPRM mendapati tidak ada kes berkaitan ia diberikan semula kepada parti berkenaan.

“Apabila wang yang masuk ke dalam akaun parti mestilah duit yang diperoleh daripada sumber yang sah termasuklah sumbangan daripada orang ramai, mahupun ahli.

“Di Malaysia tidak ada undang-undang yang berkaitan dengan dana politik dan sesiapa saja boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti politik,” katanya kepada pemberita selepas Program Prihatin Kota Bharu Cakna Kota Lama di Jalan Kebun Sultan, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata, jika hendak semak kewangan parti, ia perlu dilakukan ke atas semua parti kerana pada pilihan raya semuanya menggunakan wang.

“Dari mana mereka (parti) mendapat wang untuk membuat poster, mengadakan ceramah atau aktiviti berkaitan dan ia tentulah usaha daripada parti itu sendiri untuk mendapatkan kewangan bagi parti masing-masing,” katanya.

Takiyuddin berkata, setiap bulan PAS Pusat akan mengadakan mesyuarat bagi membentangkan penyata kewangan iaitu berapa banyak wang yang diterima dan dibelanjakan.

“Dulu kita pernah dituduh menerima RM90 juta, tetapi akhirnya SPRM mengesahkan tidak ada bukti wang masuk ke dalam akaun dan itu adalah satu tohmahan politik yang tidak berasas.

“Jadi saya yakin dalam isu BERSATU duit yang diperoleh adalah daripada penyokong ahli parti berkenaan.

“Terdapat proses undang-undang bagaimana hendak mendapatkan kembali wang daripada disita atau dibekukan oleh pihak SPRM,” katanya, lapor Berita Harian.