DATUK Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan mempergunakan ketelusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung dananya sebagai senjata untuk ‘menekan dan menzalimi’ parti itu.
“Wang daripada kutipan dana kami dimasukkan ke dalam akaun parti, dibentangkan dalam perhimpunan tahunan, diaudit oleh juruaudit yang bebas, dan dipersembahkan kepada rakyat secara keseluruhan.
“Bagi saya, kesal juga tengok suasana sekarang ketelusan kita itu dipergunakan untuk menzalimi kita. Janganlah ketelusan, semangat dan keinginan kita untuk memastikan dana ini telus dipergunakan untuk jadikan senjata untuk menekan kita,” katanya, memetik laporan FMT.
Wan Saiful melepaskan jawatannya sebagai ketua penerangan Bersatu baru-baru ini selepas menghadapi pertuduhan meminta dan menerima rasuah yang melibatkan dana program Jana Wibawa.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini membeku akaun Bersatu dalam siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.
Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan meminta dibicarakan. Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menafikan sebarang salah laku berhubung sumber dana dalam akaun Bersatu.
Bersatu didakwa menerima dana politik sebanyak RM300 juta daripada kontraktor yang dianugerahkan pelbagai projek di bawah Jana Wibawa.
Wan Saiful diwawancara FMT beberapa hari sebelum beliau dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan rasuah itu. Selain menafikan dua pertuduhan itu, beliau konsisten menolak sebarang salah laku berhubung akaun Bersatu.
Dalam temuramah berkenaan, Wan Saiful turut mencabar parti lawan seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mendedahkan akaun mereka yang beliau yakin mempunyai jumlah wang begitu banyak.
“Kenapa tak persoalkan (sama ada) logik ke ada parti lain ada RM3-4 juta saja. Bagi saya tak logik, dan itu belum lagi kita bercakap individu-individu yang mengutip berbilion ringgit, berpuluh juta secara tidak telus,” kata beliau.
Sebelum ini, bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin, Dr. Marzuki Mohamad, dilapor berkata penyata kewangan Bersatu bagi 2020 dan 2021 difailkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan menjadi dokumen awam.
Dalam pada itu, Wan Saiful turut mempersoalkan sumber kewangan Anwar memandangkan Presiden PKR itu tidak mengambil gaji sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
“Mana dapat duit sampai tak perlu ambil gaji? Bila tak ambil gaji ini maksudnya dia ada pendapatan lain. Pendapatan itu datang dari mana,” soalnya.
Seorang Perdana Menteri menerima gaji bulanan sebanyak RM22,826.65, manakala seorang Menteri mendapat RM14,970.20 setiap bulan, menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan).
Anwar dalam catatan di Twitter pada 5 Disember lalu mengesahkan beliau tidak mengambil gaji Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, seperti yang diikrarkan ketika Pilhan Raya Umum ke-15 sebagai solidariti bersama rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.