Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Guru tahfiz lemas ketika mandi pantai -

Guru tahfiz lemas ketika mandi pantai

SEORANG guru tahfiz meninggal dunia selepas lemas ketika mandi di Pantai Angulia dekat Marang, pada 9.55 pagi tadi.

Mangsa, Nabil Husaini Halimun Nawar, 22, yang berasal dari Selangor merupakan seorang tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Al-Azhariah di Seksyen 18, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zain Mat Deris berkata menurut laporan, mangsa bersama 35 pelajar dan lima tenaga pengajar lain datang ke kawasan berkenaan untuk menjalani kem pemantapan iman.

Beliau berkata selepas selesai aktiviti sukaneka, mangsa bersama seorang pelajar mengambil kesempatan mandi di pantai sebelum dihanyutkan arus ke tengah laut.

“Kejadian itu disedari oleh seorang pelajar yang melihat mangsa meminta tolong dari tengah laut. Pelajar itu bergegas meminta pertolongan dari pekerja resort berada berdekatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zain berkata mangsa berjaya dibawa naik ke darat oleh pekerja resort dalam keadaan tidak bergerak dan disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Mangsa bersama rombongan pelajar tiba di Terengganu pada 26 Feb lepas dan mereka sepatutnya pulang ke Selangor hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zain turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan merujuk ramalan cuaca dalam laman web atau media sosial sebelum menjalankan sebarang aktiviti di air.

“Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora yang menyebabkan kenaikan paras laut di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur sehingga 6 Mac ini.

“Jadi saya nasihatkan supaya orang ramai tangguhkan dulu aktiviti di pantai kerana ia berbahaya dan tak dapat dijangka,” katanya. — BERNAMA