Empat kru bot Jabatan Perikanan Johor ditemukan di perairan Indonesia

0
152

EMPAT kakitangan Jabatan Perikanan Johor yang dilaporkan hilang selepas terputus hubungan, semalam ditemui selamat oleh pasukan Tentera Nasional Indonesia (TNI) di perairan negara itu tengah hari tadi.

Mereka yang menaiki bot PL87 itu ditemui pada jarak kira-kira 13 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dikesan atau satu batu nautika dari Pulau Kepalajerih, Batam, Indonesia, pada pukul 1.45 tengah hari.

Bot PL87 diketuai Fatimah Razak, 36; bersama tiga kru lain, Zaharin Baharudin, 33; Abdul Halim Sanip, 52; dan Marzuki Jusuh, 53.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata hasil maklumat awal diperolehi, bateri bot berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan.

“Bot kemudian tidak dapat berfungsi dengan baik sebelum dihanyutkan.

“Ketika ditemui, semua kru dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat,” katanya pada sidang media di Jeti Maritim Malaysia Sungai Pulai di Iskandar Puteri, hari ini lapor, Berita Harian.

Nurul Hizam dalam pada itu mengesahkan ketika ini, bot berkenaan masih di perairan Indonesia dan pihaknya sedang menjalankan urusan membawa pulang semua mangsa dengan kerjasama TNI.

“Bot PL87 kini dalam proses pembaikan oleh TNI, jika ia boleh dibaiki, bot akan bergerak sendiri dengan diiringi TNI sebelum diserahkan kepada kita.

“Kita berharap semua urusan membawa pulang bot PL87 dan mangsa dapat diselesaikan hari ini dan proses serahan dijangka dibuat di perairan Johor Barat,” jelasnya.

Semalam, bot yang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi ke Pengkalan Jabatan Perikanan di Tampoi, Johor Bahru, sejak j 12.45 tengah hari semalam, gagal dikesan dan dihubungi kira-kira 3 petang.

Bot berkenaan dijadualkan tiba di Tampoi pada 6.30 petang.

Operasi Mencari Dan Menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan bermula malam tadi membabitkan keluasan carian sehingga 47 batu nautika.

Lapan aset digerakkan termasuk helikopter APMM, bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor dan Jabatan Perikanan Negeri Johor.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada TNI, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Republik Indonesia dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) yang turut membantu dalam operasi SAR ini,” katanya yang menamatkan SAR kes berkenaan 2 petang tadi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here