Op Pewa: JPJ Kelantan tahan enam warga asing

0
244

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menahan enam warga asing iaitu lima orang etnik Rohingya dan seorang warga Pakistan, dalam Operasi Khas Pemandu Warga Asing (Op Pewa) di sekitar kawasan Kota Bharu, malam tadi.

Pengarahnya Mohd Misuari Abdullah berkata menerusi operasi berkenaan sebanyak tiga lori, lapan motokar, 11 motosikal roda tiga dan 69 motosikal disita, serta 186 notis saman dikeluarkan.

“Operasi yang bermula seawal pukul 9 pagi semalam bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan, terhadap pemandu warga asing terutama etnik Rohingya dan pemilik kenderaan motor yang gagal mematuhi peraturan.

“Antara kesalahan yang dikesan pemandu warga asing ialah tidak memiliki lesen memandu, tiada perlindungan insurans, memandu kenderaan yang tamat tempoh cukai jalan dan salah guna lesen kenderaan motor,” katanya pada sidang media di Pejabat JPJ Panji, di sini hari ini.

Mohd Misuari berkata pemilik kenderaan yang memberi sewa kepada warga asing, akan berdepan dengan tindakan mahkamah yang mana kesalahan tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dengan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

“Statistik penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing bermula tahun 2021 sehingga Februari 2023, JPJ Kelantan mengeluarkan 1,350 notis saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 203 kenderaan,” katanya.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here