KERAJAAN campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) sedang membuat pendakwaan terpilih secara terancang untuk melemahkan musuh politik mereka dengan mensasarkan parti lawan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata secara terang-terangan wujud perancangan pihak kerajaan untuk memberi tekanan kepada parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi dan parti Bersatu antara sasaran utama kerana menyedari rakyat menolak kerajaan campuran.
“Pendakwaan terpilih yang terancang, setiap parti politik memerlukan dana untuk menjalankan aktiviti parti justeru perlembagaan parti membenarkan sumbangan diterima daripada ahli orang ramai dan juga individu yang menyokong perjuangan parti Bersatu.
“Dan ini termasuk dana yang diterima daripada ahli-ahli perniagaan yang menyokong perjuangan parti dan setakat ini tidak ada satu pun undang-undang khusus untuk pembiayaan politik di Malaysia.
“Hari ni Parti Bersatu telah menjadi sasaran pendakwaan terpilih, apabila menerima sumbangan dana politik tiba-tiba telah menjadi satu kesalahan jenayah. Beberapa orang pemimpin Bersatu telah didakwa di mahkamah kerana menerima sumbangan dana untuk menjalankan aktiviti parti,” katanya semasa sidang media di kompleks mahkamah Jalan Duta pagi ini.
Jelas Muhyiddin, bukan hanya Bersatu sahaja menerima dana politik tetapi parti lain juga menerima dana sama, ia termasuk parti dalam kerajaan PH dan BN yang sehingga hari ini tidak mendedahkan penyata akaun mereka menerima dana politik secara terbuka.
“Mengapa saya katakan pendakwaan terpilih ialah kerana parti-parti politik dalam kerajaan yang terutamanya PH dan BN juga menerima sumbangan daripada ahli-ahli Perniagaan ataupun sumbangan orang ramai yang tertentu tetapi pemimpin parti mereka ini tidak pun didakwa di mahkamah,” katanya lagi.
Namun, sememangnya sudah dijangka pihak kerajaan akan cuba menggunakan apa sahaja cara untuk mencalarkan imej parti Bersatu memandangkan sokongan terhadap mereka sudah semakin terhakis kerana gagal menangani isu dihadapi rakyat dengan baik.
“Pendakwaan terpilih ini berlaku ketika kerajaan PH dan BN dilihat semakin gagal dalam menyelesaikan masalah rakyat dan bakal ditolak dalam pilihan raya di enam buah negeri yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi.
“Bersatu sebenarnya telah menjangkakan bahawa inilah yang akan dilakukan oleh kerajaan PH-BN untuk melumpuhkan Bersatu setelah melihat sokongan kepada Bersatu dan PN semakin kuat dalam PRU-15,” ujarnya lagi.
Muhyiddin berkata rakyat tidak bodoh untuk melihat tindakan kerajaan campuran yang sengaja memberi tekanan kepada musuh politiknya dan akan menghukum mereka pada PRN nanti.
“Memandangkan tindakan pendakwaan terpilih telah diambil terhadap beberapa pemimpin Bersatu, saya yakin bahawa pembelaan yang sewajarnya dan seadilnya akan diberikan di mahkamah.
“Manakala mahkamah rakyat pula akan menghukum PH-BNdi atas niat jahat mereka melakukan tindakan menekan musuh politik dan pendakwaan terpilih secara berterusan terhadap lawan politik mereka.
“Saya menyeru supaya ahli-ahli parti Bersatu bertenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya lagi.
Sejak kerajaan campuran dibentuk, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali dilihat secara terang-terangan membuat tuduhan terhadap PN, antaranya berhubung kononnya tauke judi menyalur dana kepada gabungan itu dan menuduh berbilion duit dirompak semasa PRU-15 lalu.
Terdahulu, Muhyiddin bersama pemimpin parti hadir ke Mahkamah Jalan Duta bagi memberi sokongan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang didakwa hari ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.