DAP akui perlu masa sesuaikan diri dengan BN

DAP mengakui bahawa parti itu masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan Barisan Nasional (BN), kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook.

“Ini kerana secara tradisinya parti itu tidak sebulu namun memilih untuk membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya ya juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan.

Berikutan itu katanya, Konvensyen DAP Negeri Sembilan yang berlangsung hari ini, parti itu tidak menjemput UMNO.

Jelasnya, ini sama seperti Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang tidak menjemput wakil Parti Keadilan Rakyat(PKR) dan Perdana Menteri.

“Ini adalah proses untuk sesuaikan diri yang mungkin belum sampai ke tahap itu. Masing-masing masih perlu satu masa untuk beri penerangan kepada akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen DAP Negeri Sembilan 2023 di Seremban, hari ini.

Bagaimanapun katanya, konteks politik hari ini telah berubah berikutan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang menyebabkan wujud persefahaman dengan parti yang menentang PH sejak dahulu.

Oleh sebab itu katanya, penting untuk setiap ahli parti terutama akar umbi belajar menyesuaikan diri.

“Saya tahu rakan-rakan di akar umbi belum dapat sesuaikan diri. Tapi proses kita sesuaikan diri dalam fasa politik ini perlu sampai ke peringkat akar umbi.

“Dalam konteks kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan hari ini ia bukan antara parti tetapi kerjasama antara gabungan parti,” ujarnya.

Beliau percaya bukan sahaja DAP, malah PKR dan Amanah juga masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Selain itu beliau turut mengingatkan semua parti dalam PH supaya bersatu hati supaya gabungan yang terbentuk terus kekal utuh dan kuat.

“DAP juga nak bagi komitmen yang kita tidak akan bergerak solo. Kerusi kita adalah kerusi PH,” jelasnya, lapor Sinar Harian.