Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Kerajaan rugi RM1.66 juta akibat kelemahan kutipan sewa kuarters kerajaan di Putrajaya -

Kerajaan rugi RM1.66 juta akibat kelemahan kutipan sewa kuarters kerajaan di Putrajaya

KELEMAHAN dalam kutipan sewa kuarters kerajaan di Putrajaya menyebabkan ketirisan hasil berjumlah RM1.66 juta kepada kerajaan, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2. 

Berdasarkan laporan itu dikeluarkan hari ini, kerugian tersebut merangkumi sewa kuarters RM1.16 juta yang tidak dikutip terhadap penghuni yang menduduki kuarters bagi tempoh antara 12 hingga 179 bulan, iaitu seawal tahun 2007.

Semakan audit juga mendapati kutipan sewa kuarters tidak diselaraskan dengan gred jawatan penghuni dan lokasi pejabat penghuni menyebabkan ketirisan hasil berjumlah RM0.5 juta.

“Perkara ini berlaku kerana kegagalan penghuni memaklumkan ketiadaan potongan gaji bagi bayaran sewa kuarters, menyediakan penyata kewangan tidak tepat dan tiada semakan status pendudukan kuarters bagi pegawai bertukar,” menurut laporan pengauditan berkaitan pematuhan kementerian dan jabatan persekutuan itu.

Justeru, bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan kewangan, pihak audit mengesyorkan Bahagian Pengurusan Hartanah (BPH), Jabatan Perdana Menteri agar mengambil beberapa tindakan.

Ia termasuk memastikan Daftar Penghuni Kuarters diselenggara dengan lengkap dan kemas kini, dan dikongsikan kepada kementerian secara berkala supaya kutipan pulangan balik Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) dan Bantuan Sara Hidup (BSH) penghuni dapat dipantau.

Pihak audit juga menyarankan kementerian agar membuat hebahan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kesedaran pegawai terhadap tanggungjawab masing-masing untuk memaklumkan sebarang kesilapan dalam pembayaran emolumen.

— BERNAMA