‘Beku’ penjawat awam: Siapa akan bantu Menteri, takkan anak sendiri nak bantu – Muhyiddin

0
185

AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tindakan ‘membekukan’ penjawat awam tidak wajar dan tidak adil.

Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, ini kerana penjawat awam sentiasa profesional dalam tugas mereka.

“Kenapa kita nak tukarkan mereka. Kenapa nak masukkan dia dalam ‘peti ais’, bekukan.

“Ini saya kira perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Takiyuddin membangkitkan persoalan mengenai dakwaan berlaku ‘pembekuan’ penjawat awam oleh kerajaan pada masa ini.

Berkongsi pengalaman sebagai bekas Perdana Menteri, Muhyiddin berkata tindakan ‘membeku’ penjawat awam tidak adil.

“Penjawat awam ada proses dan prosedur. Kalau mereka melakukan kesalahan, mereka boleh dihadapkan ke jawatankuasa disiplin.

“Ambik tindakan, bukan dibekukan dan tidak diisi. Jadi YB jadi Menteri ini siapa yang akan bantu.

“Takkan anak sendiri yang duduk dalam pejabat akan bantu. Apa pengalaman dia, tak ada apa-apa pun,” ujarnya lagi.

Muhyiddin berkata, pada zaman pentadbiran Pakatan Harapan dahulu, sebanyak lapan menteri mahu Ketua Setiausaha Kementerian ditukarkan.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin menyuarakan kebimbangannya wujud kecenderungam pihak tertentu mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang seolahnya mencabar kedudukan kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini.

“Kononnya, perkhidmatan awam di negara ini didominasi oleh kaum Melayu dan atas nama reformasi, dominasi ini mesti dirombak.

“Hormat sikit perasaan penjawat awam. Yang Berhormat sebelah sana dalam kerajaan. Kalau menyentuh perasaan penjawat awam, kalau mereka tak nak bekerja, apa jadi kepada kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here