Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000 -

Wanita mengaku tak bersalah palsukan dokumen bernilai RM150,000

SEORANG wanita dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen bagi tujuan permohonan dana sebanyak RM150,000 pada sembilan tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Sarah Diana Michele Durai, 44 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jason Juga.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai pegawai perhubungan perniagaan di WK Consortium Sdn Bhd menggunakan satu dokumen palsu sebagai tulen.

Dokumen yang dimaksudkan ialah Surat Tawaran Kerja-kerja Projek Membersih Kawasan Kem Lok Kawi yang dituduh digunakan bagi tempoh kontrak dari 1 April 2014 hingga 1 April 2015.

Pada 21 Mac 2014, tertuduh yang juga pemilik syarikat kekal bersama SZ Enterprise itu mengemukakan dokumen tersebut atas nama syarikatnya kepada Pejabat MARA Negeri Sabah bagi tujuan memohon pembiayaan di bawah Skim Pembiayaan Kontrak Ekspress bernilai RM150,000.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tempoh hingga dua tahun, atau didenda, atau kedua-duanya.

Tertuduh yang diwakili peguam Sylvester Kuan memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM10,000 daripada RM15,000 yang ditetapkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan deposit RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Menurut laporan Astro AWANI, tertuduh juga dikehendaki melapor diri setiap dua bulan sekali di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah dan diarah menyerahkan passport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah memutuskan 12 April ini bagi pengurusan kes.