Rakyat damba barang mentah harga Rahmah

0
295

PELANCARAN Menu Rahmah berharga RM5 bagi hidangan makanan tengah hari atau makan malam di lebih 15,000 restoran untuk golongan B40 bermula 31 Januari lalu sangat disambut baik oleh rakyat.

Inisiatif oleh kerajaan itu bertujuan memastikan golongan berpen-dapatan rendah khususnya, mampu membeli makanan di restoran pada harga yang berpatutan.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum ini dilaporkan berkata, menerusi inisiatif itu, diharap tiada lagi golongan sasar yang tidak mampu membeli makanan di restoran.

Malah, KPDN turut merancang membangunkan aplikasi khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan informasi mengenai Menu Rahmah.

Aplikasi tersebut secara keseluruhannya akan mempamerkan lokasi termasuk waktu tertentu bagi mendapatkan menu berkenaan.

Pelaksanaan program seumpama itu sedikit sebanyak membantu golongan berpendapatan rendah atau sederhana yang tidak sempat menyediakan makanan di rumah dan terpaksa membeli makanan di luar.

Namun, bagi keluarga yang mempunyai ramai anak, Menu Rahmah dikatakan tidak banyak membantu kerana kebanyakan daripada mereka akan memasak atau menyediakan makanan di rumah.

Ramai sahabat penulis terutama yang bergelar ibu tunggal mengakui adalah lebih jimat jika memasak sendiri di rumah, berbanding membeli makanan di luar meskipun ditawarkan dengan menu berharga RM5.

Menurut mereka, RM5 hanya untuk sekali makan tengah hari dan jumlah itu belum dicampur harga kos sarapan dan makan malam, belum digandakan dengan jumlah ahli keluarga.

Ternyata di sebalik kegembiraan segelintir pihak terhadap Menu Rahmah, jauh di sudut hati majoriti rakyat lain mendambakan harga bahan mentah belum dimasak turun berikutan dibebani dengan kenaikan dari hari ke hari.

Penulis sendiri yang biasanya membelanjakan RM100 untuk membeli barangan keperluan untuk tempoh seminggu kini perlu menyediakan antara RM200 hingga RM300 bagi tempoh sama.

Tidak dapat penulis bayangkan berapa jumlah perbelanjaan dapur perlu dikeluarkan bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga ramai.

Mungkin ada sebilangan mereka yang terpaksa mencatu perbelanjaan, malah mungkin ada juga terpaksa mengehadkan kuantiti makanan diambil setiap hari.

Situasi itu dapat dilihat melalui status luahan hati rakyat di media-media sosial. Tentulah ramai rakyat kecewa jika alasan-alasan tidak logik terus diberi kerajaan mengenai isu harga barangan yang dibangkitkan.

Harga ikan, sayur, ayam dan beberapa barangan lain yang tidak pernah turun menyebabkan ramai berpandangan kerajaan perlu mencari jalan menyelesaikan masalah daripada akar umbi.

Jika kos bahan mentah terus meningkat, yang dibimbangi bukan sahaja pelaksanaan Menu Rahmah terhenti di tengah jalan, malah dikhuatiri sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

Ia berikutan mungkin peniaga juga tidak mampu menanggung harga kos untuk menyediakan Menu Rahmah dan terpaksa kembali kepada harga asal atau lebih mahal lagi.

Besarlah harapan rakyat agar Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini akan memberi kegembiraan buat mereka atau sekurang-kurangnya kelegaan untuk menempuh hari-hari mendatang.

Ini jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri bahawa kerajaan sedang berusaha mencari mekanisme terbaik membantu rakyat menangani kos sara hidup tanpa perlu membuat pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, beberapa perkara diberi tumpuan utama dalam bajet itu, namun yang pasti untuk menggembirakan rakyat.

Bagi golongan berpendapatan rendah, sudah tentu mereka ternanti-nantikan bantuan kewangan yang boleh meringankan beban dan sara hidup.

Sudah tentu, rakyat menunggu pengumuman signifikan kerajaan mengenai mekanisme bagi mengawal harga barangan keperluan.

Sehingga hari ini, rakyat masih menantikan janji-janji manis ahli politik ketika berkempen untuk membantu rakyat.

Sekarang mereka sudah jadi orang kerajaan. Penulis merindui formula-formula penurunan harga barang yang sering disebut-sebut Menteri Ekonomi sebelum ini dan berharap ia benar- benar dapat dilaksanakan.

Tulisan ini pertama kali disiarkan SINAR HARIAN adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita.

Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here