Potong perbelanjaan kerajaan tak selesai masalah rakyat – Pakar ekonomi

0
109

PAKAR ekonomi menggesa kerajaan mencari pendekatan baharu selain daripada mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi sebarang cabaran ekonomi yang mendatang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, akan memberi tumpuan untuk memulihkan keyakinan pelabur bagi meningkatkan ekonomi, sambil menambah negara tidak dapat bertahan dengan defisit yang tinggi.

Pakar ekonomi, Adilah Zafirah Mohd Suberi berkata, mengurangkan perbelanjaan kerajaan adalah satu keputusan yang sukar kerana sebahagian besar daripada perbelanjaan itu disalurkan kepada emolumen selain untuk menampung hutang.

“Tidak banyak yang tinggal untuk pembangunan. Tumpu kepada usaha untuk tingkatkan pendapatan yang dapat membantu mengurangkan defisit kita,” kata penyelidik di badan pemikir Institut IRIS itu.

Menurutnya, meluaskan asas cukai dengan melaksanakan cukai kekayaan dan karbon juga dapat membantu.

“Langkah mereformasikan cukai antarabangsa untuk syarikat multinasional itu bagus dan semoga dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, dalam temu bual bersama agensi berita Bloomberg baru-baru ini turut berkata, kerajaannya tidak tergesa-gesa untuk mengembalikan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana akan menjejaskan golongan miskin.

Beliau akan mengutamakan pengurangan hutang secara beransur-ansur, tambahnya.

Hutang dan liabiliti Malaysia berjumlah RM1.5 trilion, atau 80 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Had siling hutang negara dinaikkan kepada 65 peratus daripada KDNK pada 2021, dengan Menteri Kewangan ketika itu Tengku Zafrul Aziz berkata, ia akan membiayai defisit belanjawan kerajaan untuk jangka panjang.

Penganalisis Adriana Asmaa, mengingatkan kerajaan supaya tidak mengurangkan perbelanjaan dengan mengorbankan kehidupan seharian rakyat.

“Jika kerajaan kurangkan perbelanjaan apabila ekonomi sedang teruk, kita akan mengalami kejatuhan ketara dalam KDNK sebenar.

“Tetapi jika kerajaan kurangkan perbelanjaan ketika ekonomi sedang berkembang pesat, pemotongan perbelanjaan ini membantu mengurangkan inflasi, menyebabkan hanya kejatuhan kecil dalam KDNK sebenar,” katanya lapor MalaysiaNow.

Sebahagian besar penganalisis dan peramal dari Bank Dunia sehingga Tabung Kewangan Antarabangsa bersetuju bahawa Malaysia tidak mungkin mengalami kemelesetan.

Sebaliknya, mereka berkata, negara mungkin akan mengalami pertumbuhan sederhana.

Adriana, dari Institut Masa Depan Malaysia, bersetuju bahawa Malaysia akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan yang lebih mampan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan juga perlu menjana pendapatan baru.

Sementara itu Adilah berkata, tiada apa yang akan berubah selagi negara kekal dalam kerangka ekonomi yang sama.

“Buat benda sama dengan cara yang sama cuma mendatangkan hasil yang sama.

“Ianya seringkali tentang meningkatkan pelaburan dan slogan untuk mengurangkan ketidaksaksamaan yang memberi faedah kepada kumpulan-kumpulan tertentu sahaja,” ujar beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here