BEKALAN air mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna terjejas susulan henti tugas sementara loji rawatan air akibat berlakunya pencemaran bau di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, malam tadi.
Dalam satu kenyataan, Air Selangor memaklumkan bekalan kembali pulih selepas LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1), LRA Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 (LRA SSP3) beroperasi sepenuhnya.
“Tempoh pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
“Air Selangor terus giat menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terlibat bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna yang terjejas.
“Keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian di sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” kata kenyataan itu, lapor FMT.
Katanya, sebarang perkembangan berkaitan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
“Pengguna juga boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ serta menerusi aplikasi Air Selangor,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.