Cubaan masuk sempadan secara haram, 19 PATI warga Myanmar ditahan

0
149

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba masuk ke Malaysia menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan, berkata bertindak atas maklumat perisikan, pasukan operasi pada mulanya mengesan sempadan dan menahan sekumpulan tujuh orang awam yang cuba memasuki Malaysia secara haram di ladang getah kawasan sempadan kira-kira jam 9.15 pagi.

“Seterusnya, pada jam 10.30 pagi pasukan operasi mengesan dan menahan satu lagi kumpulan seramai 12 orang tidak jauh dari lokasi pertama di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Ke enam Infantri Malaysia (KTJ 6 Bgd).

“Hasil pemeriksaan mendapati, kesemua 19 orang awam yang ditahan adalah PATI warga Myanmar yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya, lapor BH Online.

Menurut kenyataan itu, kesemua PATI yang ditahan terdiri daripada 11 lelaki dan lapan wanita yang berusia antara 21 hingga 44 tahun.

Turut dirampas 12 telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar, dua pasport serta 17 kad pengenalan Myanmar dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM8,798.

PATI yang ditahan kemudiannya diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here