Tiada cadangan mansuh subsidi petrol, diesel

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIADA cadangan bagi pemansuhan subsidi petrol dan diesel dalam pembentangan Bajet 2023 akan datang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan masih mengekalkan pelaksanaan subsidi bahan bakar berkenaan demi kepentingan rakyat.

“Subsidi berkenaan akan dikekalkan sehinggalah kerajaan membuat suatu keputusan misalnya kemungkinan bagi melaksanakan subsidi bersasar.

“Kerajaan bersedia bersedia menerima apa saja pandangan bebas (pakar ekonomi). Setakat saya hadir mesyuarat kabinet pada Rabu lalu, tiada sebarang perubahan diperbincangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Kipmall, Tampoi, Johor Bahru, hari ini.

Turut hadir Exco Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, Lee Ting Han.

Semalam, media melaporkan pakar ekonomi menjangkakan Kerajaan Perpaduan akan mengumumkan pemansuhan subsidi petrol dan diesel dalam pembentangan bajet akan datang.

Kerajaan dijangkakan akan menggantikannya dengan sistem bantuan kepada mereka yang memerlukan. – SB