POLIS menahan seorang pesakit mental selepas mengamuk menggunakan sebilah pisau pemotong daging di kawasan Paloh, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata suspek berusia 40-an bagaimanapun berjaya ditenteramkan dalam kejadian kira-kira 1.40 tengah hari itu dan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian dan mendapati lelaki warga tempatan itu dalam keadaan mengamuk dengan memegang sebilah pisau pemotong daging.
“Siasatan mendapati suspek adalah pemegang kad pesakit mental dan tiada sebarang kejadian jenayah berlaku dalam kejadian ini. Tiada laporan polis dibuat terhadap lelaki berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, polis menghargai bantuan orang awam yang menyalurkan maklumat dan yang berada di lokasi kejadian.
Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 36 saat yang memaparkan seorang lelaki memegang sebilah pisau di tempat sambil dikepung polis yang mengacukan pistol lapor BH.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.