Oleh RIZQI ZABIDI
DEMI kemudahan lebih 1,000 umat Islam di tiga kawasan perumahan dekat Bandar Mutiari di Sungai Petani, Kedah, sebuah masjid dirancang untuk dibina di situ secepat mungkin.
Segala kelulusan sudah diperolehi termasuk dari Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) malah tapaknya juga telah disediakan namun hanya kos pembinannya saja yang belum dapat dipenuhi ketika ini.
Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Penaja Kariah Bandar Mutiara (JKPMKBM), Zahir Said, ketiadaan masjid membuatkan penduduk di Taman Bandar Mutiara, Taman SP Height dan Yara Park terpaksa menunaikan solat Jumaat di luar kariah kerana kawasan perumahan didiami hanya memiliki surau.
“Penduduk di kawasan ini perlu menunaikan solat sama ada di Masjid Batu 2 Jalan Kuala Ketil, Taman Kelisa dan di Bandar Puteri Jaya yang jaraknya agak jauh dari kediaman masing-masing untuk solat Jumaat kerana tiada pilihan lain.
“Kita sudah ada tapak masjid seluas 10,100 meter persegi namun sumber kewangan diperolehi setakat ini masih belum mampu menampung perbelanjaan untuk mendirikan masjid yang dianggarkan bernilai RM6 juta,” katanya.
Tambahnya sejak kawasan perumahan tersebut dibuka pada 2016, hanya sebuah surau didirikan iaitu Surau Al Banna namun ia hanya boleh menampung kira-kira 200 jemaah.
“Surau ini tidak dapat menampung jemaah terutama ketika solat Aidilfitri serta Aidiladha kerana ia dihadiri ramai penduduk yang pulang menyambut perayaan bersama keluarga hingga ada yang terpaksa menunaikan solat di luar pagar.
“Jadi, saya amat berharap serta merayu sumbangan derma daripada orang ramai serta pihak korporat untuk pembinaan masjid ini supaya anak-anak kariah di tiga kawasan taman perumahan ini dapat beribadah dengan lebih selesa selepas lama menggunakan masjid di luar kariah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh membuat sumbangan ke akaun Bank Islam 02020010083756 atas nama JKPMKBM atau menghubungi Zahir di talian 013-5908406. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.