WARGANET mempersoalkan langkah kerajaan mendigitalkan dokumen berkait kenderaan, seperti cukai jalan dan lesen memandu, membangkitkan pelbagai kebimbangan berhubung keputusan itu.
Pengguna Facebook, Muhamad Ibrahim bertanya apa yang perlu dilakukan pemandu jika melalui sekatan jalan raya di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada Internet.
“Macam mana nak tunjuk cukai jalan dan lesen? Atau adakah anda hendak kata setiap kawasan di Malaysia, termasuk di luar bandar, mempunyai sambungan Internet yang pantas dengan semua syarikat telekomunikasi?
“Ini bukan soal politik tetapi (tentang) menyelamatkan wang saya daripada undang-undang yang tidak lengkap,” katanya.
Melvin Goh pula dengan nada sindiran berkata, pengguna boleh melekatkan tangkapan skrin kod QR dalam aplikasi telefon MyJPJ di kenderaan mereka.
Ramai netizen juga bimbang lesen digital akan menyebabkan mereka menunggu lebih lama di sekatan jalan raya, dengan pengguna jalan raya terpaksa mengambil masa untuk membuka aplikasi tersebut di telefon pintar mereka untuk ditunjukkan kepada polis.
“Diharapkan cukai jalan digital akan disimpan dalam aplikasi tanpa memerlukan akses kepada Internet selepas menggunakannya buat kali pertama.
“Bayangkan menempuh sekatan jalan raya di tempat yang tiada sambungan Internet dan anda tidak boleh mengakses cukai jalan anda di aplikasi,” kata pengguna Facebook Eleazar Joey.
Andy Bandara bersetuju tetapi berkata, ini “bukan langkah bijak”, dan tanggungjawab harus diletakkan pada pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat pengguna jalan raya dalam sistem mereka. Ini diamalkan di UK dan Amerika Syarikat, tambahnya.
“(Perlu) ada sejenis peranti yang boleh ‘menangkap’ nombor pendaftaran (kenderaan), dan memaparkan semua maklumat dengan serta-merta, termasuk saman tertunggak, rekod jenayah dan pelanggaran undang-undang lalu lintas.
“Ini akan menjadi penyesuaian yang kucar-kacir, bukan suatu penambahbaikan,” katanya lapor FMT.
Pengguna Facebook, Shaza Shaharom pula bertanya apa prosedur bagi individu yang memandu kereta ahli keluarga mereka.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan orang ramai boleh mendaftar akaun JPJ di https://public.jpj.gov.my/ atau aplikasi MyJPJ untuk mengakses cukai jalan dan lesen memandu digital mereka.
Segelintir warganet yang mengalami masalah menggunakan aplikasi MyJPJ, meluahkan rasa tidak puas hati Twitter dengan berkata, mereka malah tidak dapat melepasi halaman log masuk.
Ada juga yang mengadu bahawa Kod Pengesahan Transaksi (TAC) untuk pendaftaran akaun baharu di aplikasi tersebut tidak berfungsi dan mereka masih menunggu e-mel untuk mendapatkan nombornya.
Buntu dengan masalah yang dihadapi, warganet menggesa pembangun aplikasi tersebut menyelesaikannya dengan segera.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.