Mangsa banjir di Pahang, Kedah menurun, Johor dan Terengganu kekal

0
273

JUMLAH mangsa banjir di Pahang dan Kedah semakin berkurangan pagi ini berbanding malam tadi manakala Johor dan Terengganu kekal, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di empat negeri itu seramai 2,866 mangsa.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan situasi banjir di negeri itu beransur baik banjir pagi ini dan mangsa berkurangan kepada 2,797 orang daripada 847 keluarga berbanding 3,585 mangsa daripada 1,046 keluarga, malam tadi. 

Sebanyak 20 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi dengan 16 PPS di Kuantan menempatkan 2,678 mangsa manakala 119 mangsa berada di empat PPS di Pekan.

Di KEDAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kulim Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Agama Madrasah Insaniah Jangkang, dekat Kulim berkurangan kepada 18 mangsa setakat 8 pagi ini berbanding 26 mangsa malam tadi.

Katanya kesemua 18 mangsa itu terdiri daripada enam keluarga dari Kampung Padang Limau.

Di TERENGGANU, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Kemaman kekal 18 orang setakat pagi ini dan kesemua mangsa daripada enam keluarga itu ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor.

Di JOHOR, JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal 33 orang daripada 10 keluarga dengan hanya dua PPS masih dibuka, masing-masing satu di Segamat dengan 26 mangsa daripada sembilan keluarga dan di Mersing melibatkan tujuh mangsa daripada satu keluarga.

— BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here