‘Dulu saya dikritik teruk pemimpin UMNO, hari ini pemimpin parti lain mereka sanjung begitu mulia’ – Ismail Sabri

0
315

NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melemparkan kritikan pedas terhadap kepimpinan parti berhubung apa yang dikatakannya sebagai pilih kasih dalam cara mereka melayannya ketika dilantik sebagai Perdana Menteri selama 16 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas.

Dalam sindiran tajam yang dipercayai ditujukan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Ismail membuat perbandingan terhadap perwakilan UMNO dalam Kabinet yang dipimpinnya dengan yang ada sekarang diketuai oleh Anwar Ibrahim.

Beliau berkata semasa menerajui kerajaan campuran Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan GPS, menteri daripada UMNO membentuk hampir separuh daripada Kabinet walaupun hanya mempunyai 38 ahli Parlimen ketika itu. 

Sebaliknya, beliau berkata hanya enam slot Kabinet diberikan kepada UMNO, termasuk timbalan perdana menteri, dalam kerajaan campuran sekarang.

“Dia kata inilah satu pencapaian yang besar kepada kita. Ada enam menteri UMNO, termasuk satu timbalan perdana menteri. Sedangkan (di bawah) saya, 14 menteri Barisan Nasional (BN), termasuk perdana menteri.

“Dan hari ini, tak ada siapa kepimpinan UMNO yang kritik kerajaan. Dulu saya dikritik begitu teruk. Tetapi hari ini, pemimpin parti lain disanjung begitu mulia.”

Beliau mempersoalkan sikap berdiam diri kepimpinan UMNO walaupun kerajaan sedia ada melakukan sesuatu yang salah.

“Sekarang ini, dia punya lambung, kita tengoklah. Benda yang tak munasabah yang kadang-kadang dilakukan oleh kerajaan, dia orang (pemimpin UMNO) yang mempertahankan.

“Saya menjangkakan saya yang dipertahankan, seperti kalau saya dikritik terlalu keras, mungkin mereka boleh jadi perisai kepada saya. Tetapi dulu, mereka yang turut sama untuk serang saya,” tambahnya.

Ismail mengenangkan bagaimana media digunakan oleh pemimpin UMNO untuk menyerang rakan seperjuangan parti yang berkhidmat sebagai anggota Kabinet yang dipimpinnya.

“Saya ditekan oleh kepimpinan UMNO sendiri, seperti saya bukan menteri UMNO. Setiap apa yang berlaku, tekanan adalah terlalu kuat kepada saya.

“Saya boleh kata, kenapa tak gunakan saluran betul untuk beri arahan dan pandangan parti kepada saya, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi setiap bulan, beritahulah saya apa yang patut buat. Tak payahlah bantai saya dalam surat khabar. Di dalam media, secara terbuka (mereka) serang saya.”

Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021 rentetan pembelotan yang dirancang oleh Zahid dan bekas pemimpin Datuk Seri Najib Tun Razak hingga memaksa perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur. 

Ismail dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021 rentetan pembelotan yang dirancang oleh Zahid dan bekas pemimpin Najib Razak hingga memaksa perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin berundur. 

Beliau kemudiannya berjaya mengatasi Anwar, calon Pakatan Harapan (PH) untuk perdana menteri, selepas mendapat sokongan daripada majoriti ahli Parlimen termasuk kira-kira 50 daripada PN dan 18 daripada GPS.

Namun, beberapa bulan berikutnya menyaksikan Ismail mendapat tekanan hebat daripada pemimpin UMNO, terutama daripada presiden parti Zahid dan timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mahu beliau membubarkan Parlimen tanpa berlengah-lengah untuk memihak kepada apa yang mereka anggap sebagai kembalinya populariti BN.

Selepas berbulan-bulan ditentang, Ismail akhirnya tunduk kepada tekanan apabila membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada PRU15 pada November tahun lepas, berakhir dengan beliau menjadi perdana menteri paling singkat.

Ismail menyertai beberapa pemimpin UMNO lain dalam menentang rancangan Zahid untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Beliau juga antara pemimpin tertinggi UMNO yang menentang tindakan Zahid baru-baru ini untuk membersihkan parti itu daripada beberapa pemimpin dan ahli yang berpendirian kritikal. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here