Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian -

Wanita rugi lebih RM50,000 ditipu tawaran kerja dalam talian

HASRAT seorang wanita menambah pendapatan menerusi kerja sambilan tidak kesampaian apabila terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian sehingga mendakwa dirinya kerugian RM53,875.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang berusia 41 tahun mendakwa dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada 29 Januari lepas berhubung tawaran kerja untuk melanggan dan memberi tanda suka di YouTube.

“Mangsa mendakwa dijanjikan komisen sebanyak 30 peratus untuk setiap tugasan yang dilakukan. Bagi tugasan pertama, mangsa diarah membuat bayaran RM300 sebelum dia menerima bayaran balik berjumlah RM390 yang dimasukkan ke akaun banknya.

“Jumlah keuntungan itu menyebabkan mangsa berminat untuk terus membuat bayaran sehingga mengeluarkan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga yang keseluruhannya berjumlah RM53,875,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramli berkata, wanita itu menyedari ditipu selepas tidak menerima bayaran balik walaupun telah membuat bayaran secara dalam talian ke empat akaun menerusi 10 transaksi lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan menerusi media sosial terutama yang menjanjikan pulangan lumayan.

Katanya, orang ramai juga diingatkan membuat semakan nombor akaun yang diterima di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelak ditipu. – Bernama