Tujuh ditahan kes curi kenderaan, pecah rumah

0
176

POLIS menahan tujuh individu yang terbabit dalam kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah di Kota Bharu dalam Ops Lejang, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata,tangkapan suspek berusia di antara 26 dan 58 tahun itu dilakukan dalam serbuan di Kampung Machang Limbat dan Kampung Berhala Lima, Pasir Tumboh antara pukul 12.15 tengah malam hingga 4 pagi semalam.

“Dengan penahanan tujuh individu itu, pihak polis berjaya menemui lima buah kereta Proton Wira, peralatan memecah rumah dan kereta, serta sejumlah wang tunai.

“Berdasarkan kes kehilangan kenderaan Proton Wira yang ketara sejak awal tahun, 21 kes dilaporkan dan tindakan diambil menjurus kepada penyelesaian kes melalui Ops Lejang,” kata Muhamad Zaki, lapor Astro Awani.

Beliau berkata, kesemua kereta Proton Wira itu dipercayai dicuri sebelum dijual pada harga di antara RM3,000 hingga RM5,000.

Muhamad Zaki berkata, kejayaan tangkapan kumpulan curi kereta dan pecah rumah itu selepas polis menemui cap jari seorang suspek yang dikesan di sebuah rumah yang dipecah masuk.

“Suspek termasuk seorang bekas banduan yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau serta mengaku sebagai ketua sindiket itu, direman bermula semalam hingga 7 Februari,” katanya.

Pihak polis masih mengesan saki-baki ahli dan individu lain yang ada kaitan dengan kumpulan curi kereta itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan 379a, 325/353 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here