Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pemuda didenda RM4,000, mengaku salah curi basikal lajak -

Pemuda didenda RM4,000, mengaku salah curi basikal lajak

SEORANG lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri basikal lajak, bulan lalu.

Majistret Sharda Sheinha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Ros, 23.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Hafiz didapati mencuri basikal lajak berwarna hitam dengan rim sukan putih bernilai RM500 milik Siti Azimah Tajudin, 33, (pengadu) di sebuah rumah di Jalan SB 3, Taman Seri Bertam, Tanjung Minyak, pada 26 Januari lalu, kira-kira 2 pagi.

Justeru dia melakukan kesalahan Seksyen 379 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Fakta kes menunjukkan pengadu yang juga peniaga kosmetik mendapati pagar rumahnya terbuka tetapi tiada kesan pecah masuk ketika pulang ke rumah, namun basikal lajak milik anaknya hilang.

Pemeriksaan terhadap sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki bertopi kemudiannya dicamkan sebagai tertuduh yang mencuri basikal lajak itu, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.

Sepasukan polis Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah kemudiannya menangkap tertuduh di Pengkalan Perigi, Tanjong Kling, di Melaka, pada 29 Januari lalu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman ringan, namun pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob berhujah supaya hukuman setimpal dikenakan.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan seorang remaja 14 tahun turut mengaku bersalah dengan curang menerima atau menyimpan basikal lajak itu di sebuah rumah di Taman Bertam Impian, Tanjung Minyak, di sini, pada 29 Januari lalu, pukul 12.20 tengah malam.

Dia dituduh melakukan kesalahan Seksyen 411 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan tidak lebih lima tahun dan boleh didenda.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan 9 Mac depan untuk fakta dan hukuman bagi mendapatkan laporan akhlak juvana terbabit.