Khairy masih mahu jadi PM walau kini tanpa parti

BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin masih menaruh harapan untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan.

Bagaimanapun bekas Menteri Kesihatan itu yang kini tidak berparti selepas dipecat UMNO, Jumaat lalu mengakui tidak pasti bagaimana beliau boleh mencapai hasratnya itu.

Walaupun begitu, bekas Ahli Parlimen Rembau itu sedar bahawa dalam politik tidak semua jalannya ‘mendatar’.

“Ada pelbagai halangan yang perlu dilalui oleh seseorang sebelum mereka boleh muncul sebagai pemimpin, bukan saja dalam parti malah sebagai pemimpin negara.

“Ya, saya masih mahu memimpin negara ini suatu hari nanti. Bagaimana saya boleh ke sana, saya tidak tahu,” katanya dalam program Breakfast Grille di radio BFM pagi ini.

Beliau mahu memastikan keputusan dibuatnya dalam beberapa bulan akan datang adalah bagi meneruskan wawasannya mewujudkan negara yang ‘gembira dan selesa’.

Khairy pertama kali berkongsi aspirasinya untuk menjadi bakal Perdana Menteri dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh itu kalah dalam PRU15 dalam pertandingan enam penjuru dengan kerusi itu dimenangi calon Pakatan Harapan (PH), Datuk R. Ramanan.

Sementara itu, ditanya apa yang beliau lakukan selepas dipecat UMNO, Khairy berkata selepas 23 tahun berkhidmat untuk parti adalah sukar untuk beliau memulakan satu yang baharu.

Beliau menjelaskan sukar melupakan khidmat dalam politik kerana bukan keputusannya meninggalkan parti sebaliknya beliau ‘dibuang’ parti.

Khairy berkata, beliau perlu membuat pelarasan baharu dan itu perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Ya saya ada mendapat beberapa tawaran daripada pelbagai pihak daripada politik, akademik, perniagaan dan korporat.

“Saya belum buat keputusan lagi. Semua orang tahu saya suka bola sepak dan bebas untuk menukar haluan jadi saya sedang lihat kelab yang sesuai dan menimbang pilihan dan peluang yang ada untuk maju ke hadapan.

“Belum ada keputusan apa-apa lagi, ini bukan satu yang mudah untuk ditukar begitu saja,” katanya, lapor Berita Harian.