UMNO Sembrong tuntut penjelasan hukuman terhadap Hishammuddin

0
171

UMNO Bahagian Sembrong menuntut penjelasan daripada kepemimpinan parti mengenai sebab tindakan penggantungan keahlian diambil ke atas Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengakui terkejut dan kecewa dengan tindakan penggantungan itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abd Ghani Abd Rashid, berkata hukuman yang diputuskan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu itu amat berat.

“UMNO Sembrong berpandangan bahawa hukuman oleh MKT UMNO itu amat berat. Pertimbangan dibuat tanpa proses sewajarnya, tiada surat tunjuk sebab dan pendengaran Lembaga Disiplin.

“Ia juga seolah-olah langsung tidak mengambil kira jasa, pengorbanan dan kesetiaan beliau (Hishammuddin) kepada parti UMNO selama ini. Atas dasar itu Sembrong menuntut penjelasan dan sebab di atas penggantungan itu,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat UMNO bahagian itu hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong antara pemimpin yang digantung keahlian selama enam tahun oleh MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi Jumaat lalu.

Turut dikenakan tindakan sama ialah bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan; Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti itu.

Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata, selama hampir 20 tahun membina UMNO Sembrong, tidak pernah ada satu patah perkataan pun digambarkan Hishammuddin untuk mengkhianati parti atau menggerakkan langkah untuk membelakangkan parti.

Atas sebab itulah, katanya, ahli kepemimpinan UMNO Sembrong terperanjat dan terkejut dengan hukuman diberikan MKT terhadap beliau.

“Hukuman ini menggambarkan beliau (Hishammuddin) individu yang betul-betul hendak mengkhianati dan merosakkan parti, sedangkan kita lihat tidak ada pun langkah langkah sebegitu yang dibuat,” katanya, lapor BH Online.

Beliau berkata, UMNO Sembrong berharap semakan dapat dilakukan terhadap hukuman itu.

“Mulakan dengan tatacara yang betul, panggil (bela diri), ini proses kena ikut supaya apa yang diluahkan orang yang dituduh dapat didengari dan dikaji lain-lain pandangan supaya boleh ambil tindakan lebih tepat.

“Semua orang tahu enam tahun hukuman (diputuskan) adalah betul-betul kepada orang yang menjadi pengkhianat parti (dan ia) bukan main-main punya hukuman,” katanya.

Dalam pada itu, Abd Ghani berkata, kepemimpinan UMNO Sembrong sedia ada yang mempunyai 66 cawangan dan lebih 14,000 ahli, akan terus mematuhi nasihat Hishammuddin supaya seluruh ahli UMNO di bahagian itu kekal bersetia dengan parti dan terus berpegang kepada prinsip bahawa kepentingan parti mengatasi kepentingan individu.

Selain itu, katanya, kepemimpinan UMNO Sembrong juga akan terus bersemuka dengan seluruh ahlinya untuk memberikan pemahaman berhubung isu penggantungan bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong.

“Ini penting bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan ahli khususnya di akar umbi.

“Segala gerak kerja parti juga akan diteruskan seperti biasa. Ini termasuklah melaksanakan sepenuhnya urusan pemilihan parti selaras arahan dikeluarkan kepemimpinan Pusat.

“UMNO Sembrong percaya, setiap cabaran dan ujian terkandung hikmah. Seperti dinyatakan Hishammuddin semalam, keadaan ini bukanlah pengakhiran tetapi petanda kepada permulaan yang baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here