Hajiji ketuai Parti baharu, Gagasan Rakyat Sabah

0
139

DATUK Seri Hajiji Noor mengumumkan mengetuai sebuah parti yang dikenali sebagai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, Gagasan Rakyat akan digunakan untuk meneruskan perjuangan sebagai parti tempatan di Sabah.

Bekas Ketua Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah itu menjelaskan, Gagasan Rakyat juga telah diterima oleh GRS sebagai parti komponen pada 9 Disember 2022.

“InsyaAllah, kita akan menggerak dan meneruskan perjuangan kita melalui Gagasan Rakyat demi pembangunan rakyat serta negeri ini.

“Justeru, selepas ini tidak timbul lagi macam-macam isu untuk mempertikaikan kedudukan saya sebagai ketua menteri.

“Apa yang penting, saya telah mendapat sokongan majoriti dari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebagai Ketua Menteri Sabah dan sekarang saya telah mengetuai sebuah parti iaitu Gagasan Rakyat,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa GRS dan Pelancaran Sayap Pelajar GRS di Hotel Raia, Kota Kinabalu pada Ahad.

GRS kini mempunyai lima parti dalam gabungan berkenaan iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah atau Gagasan Rakyat; Parti Bersatu Sabah (PBS); Parti Solidariti Tanah Airku (STAR); Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Terdahulu dalam ucapannya, Hajiji turut berasa hairan dengan sikap beberapa pihak yang masih tidak puas hati dengan pentadbirannya.

“Saya hairan kenapa sedangkan kita mengurus negeri dengan baik. Namun saya tahu, semua ini bukan kerana kita gagal urus negeri, sebaliknya ada perasaan rakus dan tamak dengan kedudukan.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan sokongan rakyat kerana kita telah berjaya melakukan yang terbaik untuk masa depan Sabah, saya yakin kita boleh mengatasi semua cabaran dalam pemerintahan ini,” katanya, lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here