Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Empat ditahan terlibat sindiket penipuan jual beli barangan kemas -

Empat ditahan terlibat sindiket penipuan jual beli barangan kemas

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penipuan jual beli barangan kemas dalam talian susulan penahanan empat individu menerusi dua serbuan berasingan di ibu negara dan Selangor, Khamis lepas.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata empat individu yang ditahan itu berumur 26 hingga 45 tahun terdiri daripada seorang lelaki dan tiga wanita termasuk seorang bertaraf pemastautin tetap yang disyaki dalang utama sindiket terbabit.

Noorsiah berkata sindiket itu dipercayai aktif menjalankan penipuan sejak pertengahan 2022 dengan mewujudkan kumpulan melalui aplikasi Telegram dan Instagram bagi mengiklankan barang kemas dan seterusnya mencari mangsa.

“Mangsa yang berminat dengan barang kemas yang diiklankan akan dihubungi oleh ahli sindiket dan akan diarahkan untuk membuat pembayaran ke akaun tertentu. 

Namun setelah pembayaran dilakukan, barang kemas yang dijanjikan tidak diterima mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noorsiah berkata semasa serbuan sebanyak enam unit telefon bimbit, dua kad bank, tujuh salinan perbualan dalam aplikasi WhatsApp yang disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian telah dirampas.

“PDRM percaya melalui penahanan sindiket itu, sekurang-kurangnya enam kes berkaitan penipuan jual beli barangan kemas berjaya diselesaikan melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM17,100,” katanya.

Noorsiah berkata kesemua suspek direman dua hari bermula Jumaat lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada bagi mencegah kes-kes sebegini daripada terus berleluasa. Mereka boleh mendapatkan maklumat dan nasihat dengan membuat rujukan dengan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial atau menghubungi National Scam Response Center di talian 997,” katanya.

— BERNAMA