KERAJAAN tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup yang meresahkan rakyat, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata rakyat semakin resah melihat kegagalan kerajaan campuran sehingga hari ini tidak dapat mencari jalan untuk menyelesaikan isu ekonomi rakyat sehingga isu sekecil-kecil bekalan telur pun tidak dapat ditangani dengan berkesan.
“Ya,saya hanya menekankan ucapan saya tadi ialah keresahan rakyat jelata tentang langkah-langkah yang kerajaan campuran buat sekarang ini belum lagi dilihat berkesan untuk mengurangkan bebanan hidup kos sara hidup.
“Kenaikan harga barang, inflasi dan pemulihan ekonomi yang kalau mereka sedar dan faham itu adalah satu daripada perkara utama.
“Tapi apa yang saya jelaskan tadi tak nampak langsung kesan-kesan apa hingga masalah-masalah sekecil-kecil soal telur tidak dapat diselesaikan… saya hanya suarakan suara rakyat,” katanya semasa sidang media hari ini.
Terdahulu, Muhyiddin menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Kompleks Sukan Pagoh.
Muhyiddin menggesa kerajaan supaya bertindak lebih pantas dan pembangkang akan sentiasa memainkan peranan dalam memberikan kritikan membina bagi memastikan isu kebajikan rakyat terbela.
“Jadi saya fikir mereka harus bertindak lebih pantas ya. Kami sebagai pembangkang yang bertanggungjawab kita hanya mengkritik secara membina,” ujarnya lagi.
Setakat hari ini, Muhyiddin tidak melihat dasar dan polisi untuk menangani kemiskinan yang jelas daripada kerajaan campuran, malah isu ekonomi Bumiputera juga tidak nampak hala tujunya lagi.
“Saya tak pernah dengar pun ada kenyataan kerajaan campuran bagaimana nak menangani masalah kemiskinan dan sebahagian besar itu melibatkan kaum Melayu, bumiputera.
“Malahan tidak ada disebutkan soal usaha untuk membantu meningkat ekonomi Bumiputera.
“Ya, walaupun tak ada satu polisi jelas tapi itu harus diberikan perhatian dan nampak tidak ada apa-apa dibuat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga mempersoalkan manifesto mana satu yang akan dijadikan teras kepada kerajaan campuran ini, adakah manifesto Pakatan Harapan (PH) atau Barisan Nasional (BN).
“UMNO dah jadi sebahagian daripada mereka, apa dasar yang kerajaan ada pada hari ini laksanakan itu adakah bersandarkan kepada manifesto PH ataupun manifesto PH-BN.
“Kita pun tak jelas sekarang ini tak ada ada kenyataan daripada Perdana Menteri atau macam mana nak melaksanakan janji-janji dalam manifesto,” soal Muhyiddin lagi lapor Agenda daily.
Terdahulu, pengguna mengkritik kerajaan campuran susulan kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mendakwa harga bahan mentah sudah turun tetapi harga makanan di kedai runcit dan restoran tidak pula turun.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.