Warga emas maut bergaduh kerana tuntut hutang RM250

0
291

SEORANG lelaki warga emas maut selepas terlibat dalam pergaduhan dengan rakan lamanya yang dipercayai enggan melangsaikan hutang sebanyak RM250 di depan sebuah kedai makan di Jalan Prima 2, Metro Prima Kepong di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata dalam kejadian pada 6.45 pagi itu, mangsa yang berusia 76 tahun dipukul rakannya berumur 63 tahun menggunakan sebuah kerusi plastik.

Beliau berkata mangsa pula membalas serangan itu dengan menggunakan sebatang rod kabel.

“Mangsa kemudiannya didapati beredar selepas dileraikan anggota RELA yang berada berdekatan, namun rebah di tepi jalan kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, sebelum meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah ditahan di Balai Polis Kepong ketika hadir untuk membuat laporan polis berhubung pergaduhan tersebut pada 11 pagi tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Katanya suspek akan direman esok untuk membantu siasatan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan mengenal pasti punca kematian.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here