Suami isteri tak ngaku salah kemuka dokumen palsu tuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso

0
212

Oleh RIZQI ZABIDI

SEPASANG suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini terhadap tiga pertuduhan dihadapi mereka secara bersama kerana mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan jumlah keseluruhan hampir RM30,000, dua tahun lalu.

Pasangan tersebut, Anuar Che Lat, 53 dan isterinya, Rohana Othman, 55, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduha dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Untuk ketiga-tiga pertuduhan itu, pasangan tersebut didakwa memberikan satu dokumen iaitu borang pengesahan pekerja program insentif pengambilan pekerja atas nama Widad Tours & Travel bagi menuntut insentif tersebut.

Borang itu didakwa diserahkan kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso Kedah dengan niat memperdayakan Perkeso.

Pasangan suami isteri itu didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen diserahkan itu mengandungi butiran palsu mengenai tiga individu berbeza sedangkan kesemua mereka yang dinamakan itu, bukanlah pekerja syarikat berkenaan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan pada 20 Jun 2021, 9 Mac 2021 dan 23 Ogos 2021 di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah di Alor Setar.

Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd. Samad mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta 694) manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Rahamathullah Baharudeen.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu, atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi bagi setiap pertuduhan dihadapi.

Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin dengan kadar RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Begitu pun peguam mewakili tertuduh memohon agar kadar jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dihadapi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here