Rugi RM30,000 rumah dipecah masuk

0
146

Oleh BADLISHAH MAT

SEORANG wanita kerugian kira-kira RM30,000 apabila barangan kemas dan wang tunai miliknya dilarikan seorang penjenayah yang memecah masuk rumahnya di Kampung Teroi Bukit, Guar Chempedak di Yan.

Kejadian kira-kira pukul 3 pagi semalam berlaku ketika mangsa warga emas yang berusia 69 tahun itu sedang tidur berseorangan di dalam salah sebuah bilik di rumah berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, mangsa menyedari kejadian itu selepas terdengar bunyi barangan terjatuh sebelum mendapati seorang lelaki tidak dikenali berada di dalam biliknya.

“Mangsa terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak berlari keluar dengan mengambil beg tangan berwarna hitam milik mangsa. Di dalam beg tersebut mengandungi barangan berharga milik mangsa seperti seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin emas.

“Selain itu, terdapat juga wang tunai berjumlah RM4,000, kad mesin juruwang automatik (ATM), kad pengenalan dan beberapa lagi dokumen penting milik mangsa yang dianggarkan kerugian mencecah RM30,000,” katanya di Yan, hari ini.

Kata Shahnaz, siasatan di tempat kejadian mendapati tidak terdapat sebarang kesan umpil atau pecah di bahagian pintu rumah mangsa.

Malah, suspek yang menutup muka dengan kain sarung dipercayai masuk ke dalam rumah terbabit hanya dengan membuka selak di pintu belakang bahagian dapur melalui tingkap.

“Suspek kemudiannya masuk ke dalam bilik mangsa yang tidak berkunci dan keluar melalui pintu hadapan sebaik sahaja mangsa tersedar dan menjerit meminta tolong,” jelasnya.

Katanya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah dipanggil bagi mengesan tempat laluan suspek, namun tidak berjaya mengesan pergerakan suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here