14 ditahan, polis percaya berjaya selesaikan 21 kes samun bernilai hampir RM700,000

0
175

Oleh RIZQI ZABIDI

SEBANYAK 21 kes samun di Kedah dan negeri bersempadan berjaya diselesaikan menerusi tangkapan terhadap 14 individu terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita, dalam operasi khas dijalankan pihak polis sejak tiga bulan lalu di Kedah.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, kesemua mereka ditahan di beberapa lokasi berasingan dalam negeri ini kira-kira pukul 6 petang, 13 Januari lalu.

Katanya, operasi tersebut dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah bagi mengesan kumpulan jenayah terancang yang aktif melakukan kes samun dan kekerasan.

“Hasil siasatan awal, pasukan JSJ berjaya menyelesaikan 21 kes samun di sekitar Kedah dan negeri bersempadan melibatkan kerugian hampir RM700,000.

Antara senjata yang dirampas pihak polis

“Semakan rekod lampau mendapati ada dalam kalangan mereka yang ditahan berstatus ‘dikehendaki’ kerana disyaki terlibat dalam kes samun dan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pihak polis turut menyerbu premis pajak gadai dan merampas kembali barang-barang kemas miliki mangsa.

“Pihak polis tidak akan berkompromi terhadap peniaga mahu pun urusan jual beli emas yang mengaut keuntungan dengan membantu mana-mana pihak yang dalam pengetahuannya, adalah hasil daripada kegiatan jenayah.

“Modus operandi mereka ada menyasarkan rumah-rumah yang terasing dan jauh. Mereka akan bergerak menaiki kenderaan untuk melakukan samun di awal pagi secara berkumpulan bersenjatakan parang,” katanya.

Antara yang dirampas dan pasukan JSJ berjaya menyelesaikan 21 kes samun di sekitar Kedah dan negeri bersempadan melibatkan kerugian hampir RM700,000.

Menurutnya, suspek juga dipercayai turut mengugut untuk membunuh dan mengambil barangan berharga milik mangsa.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun penjara dan juga boleh dikenakan sebatan.

“Kejayaan ini adalah salah satu usaha PDRM Kedah untuk menumpaskan kegiatan samun dan mengurangkan kadar jenayah kekerasan. Pihak polis amat menghargai kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat bagi membantu memerangi jenayah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here