Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lelaki ditemui mati di tempat letak kereta -

Lelaki ditemui mati di tempat letak kereta

SEORANG lelaki tanpa identiti ditemui tidak sedarkan diri di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaan di Jalan Penjaja, di sini, pada malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Ismail Dollah berkata, orang awam menemui lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu dan bertindak memaklumkan kepada polis pada kira-kira pukul 8 malam.

“Lelaki berkenaan disahkan telah meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan daripada Hospital Sultanah Nora Ismail ( HSNI) yang datang sejurus dimaklumkan tentang kejadian itu.

“Susulan daripada itu, seorang warganegara asing berusia 43 tahun yang dilihat cuba melarikan diri dari tempat kejadian telah berjaya ditangkap oleh seorang pengawal keselamatan yang sedang bertugas di bangunan berhampiran sebelum diserahkan kepada polis.

“Pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah hadir membantu menjalankan siasatan di tempat kejadian dan hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan cedera di bahagian kepala mangsa,” katanya melalui kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran dan rakaman video yang dibuat oleh saksi awam yang kebetulan berada di tempat kejadian, menunjukkan ada berlaku pergaduhan antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditemui mati.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula Rabu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mayat mangsa di bawa ke HSNI untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya lapor Sinar Harian.