PRN Negeri Sembilan: PN sasar pengundi muda, majoriti mudah

0
168

SELAIN menyasarkan kerusi pengundi Melayu, Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan turut memfokuskan kepada pengundi muda dan yang kali pertama mengundi, dalam usaha merampas pentadbiran negeri itu daripada Pakatan Harapan (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Sasaran terhadap pengundi muda dan yang pertama kali melaksanakan tanggungjawab itu adalah strategi utama, setelah mendapati mereka mewujudkan gelombang menyokong PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Walaupun tidak memegang sebarang kerusi DUN dan Parlimen di negeri itu, PN yakin sokongan yang dimiliki akan membolehkan mereka menang dengan majoriti mudah dalam PRN yang akan diadakan tahun ini.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan PN Negeri Sembilan Khairul Yazman Yahya berkata platform media sosial seperti Tik Tok sekali lagi akan menjadi tumpuan mereka bagi menambat hati golongan muda.

“Ikut trend sekarang pengundi muda beralih kepada kita. Di Negeri Sembilan antara 35 peratus hingga 45 peratus pengundi beralih kepada kita.

“Yang paling seronok saluran tiga ke atas banyak memihak kepada kita. Untuk itu kempen media sosial kena secara berfokus.

“(Kandungan) Tik Tok kita akan kemas kini dari masa ke masa ikut trend yang mereka suka. Kita akan mendekati anak muda dengan pelbagai program mesra mereka,” katanya menurut Malaysian Insight.

Tik Tok sememangnya memainkan peranan penting terhadap kejayaan PN pada PRU lalu.

Namun, platform itu kemudian membangkitkan kebimbangan berhubung kandungan kontroversi berbayar yang dimuat naik, yang menyasarkan pengundi muda dan pengundi kali pertama.

Kira-kira 2,000 kandungan yang dimuat naik telah dipadam secara automatik oleh Tik Tok pada November lalu.

Khairul yang juga Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan berkata PN akan memberi tumpuan kepada kerusi majoriti Melayu dalam usaha mereka merampas Negeri Sembilan.

“Kerusi pengundi Melayu 60 peratus ke atas ada 21 (daripada 36 kerusi). Daripada itu kita sasarkan menang 19 kerusi, itu agak realistik.

“Sebenarnya kalau ikut nafsu kita nak bertanding 36 kerusi tetapi kita kena realistik jadi sasarannya adalah 19 kerusi kemenangan untuk PRN akan datang,” katanya.

Katanya lagi, gerak kerja PN sudah bermula dengan perhimpunan Semarak Gelombang Rakyat pada hujung minggu lalu, yang dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Dalam PN, kita tiga parti ini (Bersatu, PAS dan Gerakan) sudah berbincang, bermula hari ini kita teruskan gelombang ini sampai ke akhir. Tujuannya untuk kita kumpul jentera,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here