Polis cari pemandu X70 benar budak jengah keluar melalui sunroof

0
139

POLIS sedang mengesan pemandu Proton X70 yang membenarkan kanak-kanak mengeluarkan badan dan kepala melalui bumbung tembus cahaya (sunroof) seperti rakaman tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata pihaknya mengesan rakaman video berdurasi sembilan saat yang dimuat naik pemilik akaun Twitter, @nabilahroslan, jam 12.15 tengah malam tadi.

“Rakaman video itu memaparkan sebuah SUV (kenderaan utiliti sukan) Proton X70 berwarna merah bersikap cuai terhadap keselamatan kanak-kanak dengan membenarkan kanak-kanak itu mengeluarkan kepala melalui sunroof kenderaan berkenaan.

“Berdasarkan rakaman, kejadian itu berlaku di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Subang Jaya menghala ke Bukit Lanjan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan, iaitu atas perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

“Jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya sekali,” katanya menasihatkan pengguna jalan raya supaya tidak melakukan tindakan membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Beliau turut meminta pemilik atau pemandu SUV berkenaan dan saksi kejadian tampil membuat laporan polis untuk siasatan lanjut atau menghubungi penolong pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mejar Mohd Yusof Hamzah di talian 011-23065984 lapor BH.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here