Peniaga sanggah kenyataan Rafizi

0
361

BEBERAPA pengusaha restoran di Kuala Lumpur tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Rafizi Ramli, berhubung harga makanan kerana ia tidak menggambarkan situasi peniaga secara menyeluruh.

Bella Muhd, yang mengusahakan perniagaan makanan Kelantan dan asam pedas, berkata sejak beberapa hari lalu harga ikan, sayur, dan bahan kering naik mendadak ketika harga ayam turun kepada RM9.20 sekilogram.

“Bagaimana nak kurangkan harga makanan? Ayam turun RM0.20 tapi barangan lain naik harga,” katanya lapor FMT.

Selain harga bahan mentah bukan ayam, Rafizi juga perlu ambil kira keperluan lain seperti gaji minimum untuk pekerja.

“Sekarang ni untuk sektor makanan, jika kami tawarkan RM1,500 tiada pekerja yang mahu bekerja. Jadi perlu tawarkan gaji RM1,800 ke atas dengan faedah-faedah lain untuk mereka,” katanya, yang berniaga di medan selera di ibu negara.

Senada dengan Bella, Desonny Tuzan berkata menteri hal ehwal ekonomi perlu teliti keadaan pengusaha secara menyeluruh, dan bukan hanya berpandu kepada harga bahan mentah.

Peniaga di Taman Desa, Kuala Lumpur ini seterusnya menyenaraikan faktor lain yang dipertimbangkan apabila menentukan harga jualan, seperti sewa kedai, kos operasi, dan harga barangan import yang tidak menurun.

“Harga mentega, mayonis, dan rempah ratus yang diimport saban tahun meningkat,” katanya.

Justeru, Desonny merasakan tidak adil menteri menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke kedai makan yang tidak menurunkan harga atas alasan harga bahan mentah, sedangkan banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan oleh pengusaha.

Di Melaka, seorang pengusaha restoran nasi lemak, Suardi Muhammad, berkata harga bahan mentah seperti daging tidak menurun dengan banyak.

“Susah kami nak turunkan harga makanan tanpa menjejaskan untung yang kami perolehi,” katanya, yang sudah berniaga lebih 20 tahun di Ujong Pasir.

Beliau berkata peniaga pun tidak boleh sewenang-wenangnya menetapkan harga baharu.

“Dulu waktu harga barang naik pun saya tak naikkan sangat.”

Rafizi baru-baru ini menggesa peniaga restoran dan kedai makan menyemak harga jualan supaya seimbang dengan harga bahan mentah yang kini telah turun.

Katanya lagi, sesetengah peniaga masih enggan menurunkan harga makanan dan minuman, meskipun harga bahan mentah mengalami penurunan,

Memetik laporan Bernama, beliau juga menasihatkan pengguna mengelak berkunjung ke restoran dan kedai makan yang masih menawarkan harga makanan dan minuman yang tinggi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here