Pemilik Syarikat tak ngaku bersalah kemuka dokumen palsu tuntut insentif bawah Penjana Kerjaya 2.0

0
38

Oleh RIZQI ZABIDI

SEORANG pemilik syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan nilai keseluruhan RM17,500 pada 2021.

Tertuduh, Muhammad Syakireen Othman, 36, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan dihadapi sebaik pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di depan Hakim, Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Syakireen didakwa dengan niat telah mengemukakan lima dokumen borang pengesahan pekerja, Program Insentif Pengambilan Pekerja (Hiring Insentive Program) atas nama Round Globe Enterprise bertarikh 30 dan 1 Jun 2021 kepada seorang wanita yang merupakan Pegawai Perkhidmatan pekerjaan Perkeso Kedah.

Tertuduh didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen-dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai lima individu sedangkan senarai mereka yang dinamakan itu, bukan pekerja syarikat berkenaan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Teluk Wan Jah di Alor Setar antara Jun 2021 hingga Julai 2021.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 (Akta694).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Sekysen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu jika butir matan palsu itu dapat dinilai, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
 
Terdahulu Zulfadli memohon supaya mahkamah menetapkan kadar jaminan sebanyak RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dihadapi tertuduh.

Tertuduh bagaimanapun merayu supaya kadar jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga termasuk emak saudaranya yang merupakan orang kurang upaya (OKU).

Dia juga mendakwa kepercayaan pelanggan terhadapnya terjejas dan hasil jualan berkurang sejak ditahan serta disiasat SPRM.
 
Hakim kemudiannya menetapkan agar tertuduh diikat jamin dengan jumlah RM7,000.

Tertuduh turut diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat SPRM Alor Setar pada minggu pertama setiap bulan, dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Februari depan untuk serahan dokumen serta lantikan peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here