Zahid perlu cermin diri dahulu sebelum serang Hadi, kata Fadhli

0
50

KETUA Dewan Pemuda PAS Pusat Ustaz Ahmad Fadhli Shaari menggesa Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencermin diri sendiri sebelum menyerang Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan isu rasuah.

“Sebelum Datuk Seri Presiden menyerang Presiden kami dalam isu rasuah, saya sarankan Datuk Seri membeli cermin.

“Atau gunakan cermin yang ada di kediaman rasmi,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu hari ini (22 Januari 2023) merujuk kepada kediaman Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden UMNO itu berhubung isu sedekah dan rasuah yang disuarakan Abdul Hadi semalam.

Semalam, Abdul Hadi menjelaskan bahawa mengikut undang-undang pilihan raya sedia ada calon atau wakilnya tidak boleh memberi wang atas apa alasan pun, kepada orang ramai ketika kempen.

“Mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh beri, tetapi orang awam mahu beri sedekah terpulang kepada dia,” katanya mengulas tindakan UMNO Terengganu memfailkan petisyen mencabar kemenangan PAS di Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, atas dakwaan wujud rasuah.

Susulan itu, menurut Agenda Daily, Zahid mengkritik Abdul Hadi yang mempertahan tindakan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

“Kalau dia buat (dianggap) sedekah. Kalau kita bagi (dianggap) rasuah,” kata Zahid.

Kenyataan Ahmad Fadhli terhadap Zahid itu dipercayai merujuk kepada puluhan pertuduhan jenayah, termasuk rasuah, yang sedang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang kini diangkat menjadi Timbalan Perdana Menteri kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid, 69, mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 23 Januari lalu, Hakim Sequerah memerintahkan Zahid membela diri terhadap semua tuduhan itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Menurut kenyataan Ahli Parlimen PKR Pasir Gudang yang juga seorang peguam, Hassan Karim “TPM1 (Zahid) sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here