‘Perang mulut pemimpin’ bukti kerajaan perpaduan ibarat fatamorgana – Dr Marzuki

0
191

‘PERANG mulut’ antara pemimpin DAP, PKR dan UMNO sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa ‘kerajaan perpaduan’ yang dibentuk antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (PH-BN) ibarat fatamorgana (sesuatu yang bersifat khayalan).

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata ini kerana kerajaan yang dibentuk oleh dua gabungan parti yang berbeza ideologi adalah tidak serasi.

Sehubungan itu, beliau membangkitkan persoalan sama ada hubungan kerjasama kedua-dua gabungan berkenaan akan terlerai menyebabkan kerajaan fatamorgana yang mentadbir negara sekarang akan tumbang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas ‘perang mulut’ antara pemimpin DAP serta PKR dan UMNO yang melibatkan Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, P Ramasamy; Ahli PArlimen PKR Pasir Gudang, Hassan Karim; dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Mengulas lanjut, Dr Marzuki berkata kerajaan yang ada sekarang dibentuk oleh rakan sekamar yang aneh yang secara ideologinya tidak serasi, selain terikat dengan kepentingan peribadi sempit dalam kalangan pemimpinnya.

“Ia akan memberi kesan ketidakstabilan terhadap kesepaduan pakatan yang masih baharu itu. Adakah ia akan putus? Hanya masa akan menentukan,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Agenda Daily.

Bagaimanapun, Dr Marzuki tidak setuju dengan pendapat Nur Jazlan yang mengatakan bahawa DAP memerlukan UMNO bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

“Cuma bila Nur Jazlan kata DAP memerlukan UMNO untuk mendapatkan sokongan Melayu tu saya kurang bersetuju. Hakikatnya, UMNO semakin kehilangan sokongan Melayu apabila bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Rabu lalu (18 Januari), Nur Jazlan – yang kalah kepada Pengerusi PH Johor, Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam saingan merebut Parlimen Pulai pada PRU-15 lalu – menuduh PH sanggup menelan ludah sendiri demi kedudukan dalam kerajaan sekarang.

Dalam membela Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Nur Jazlan berkata pemimpin DAP dan PKR mula nak tunjuk belang mereka dalam kerajaan dan campur tangan dalam hal ehwal UMNO.

“Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Ramasamy yang sememangnya terkenal bermulut lancang dan MP Pasir Gudang, Hassan Karim yang kaki bangkang mula menyentuh isu sensitif membabitkan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN.

“Ketika pucuk pimpinan atasan PH mengambil sikap tutup mulut dan berdiam diri kerana mereka lebih memikirkan kedudukan serta kuasa dalam kerajaan perpaduan, pemimpin bawahan pula yang melalak.

“Macamlah dalam DAP sendiri tak ada masalah atau pergolakan seperti pertembungan antara Dinasti Lim dan kumpulan cauvinis Cina. Manakala dalam PKR pula umum sudah mengetahui tentang isu pertembungan arus antara Anwar dan Rafizi.

“Tapi masing-masing bersikap kunci mulut demi kekuasaan dan jawatan. Pemimpin utama DAP memang tahu mereka tak boleh jadi kerajaan macam hari ini kalau hanya harapkan undi daripada bukan Melayu.

“Sebab itulah pemimpin PH terutamanya DAP nak tackle undi Melayu dengan mengharapkan bantuan dan sokongan UMNO sehingga mereka sanggup meludah ke langit serta telan ludah sendiri. Mereka tahu tanpa kerjasama dengan UMNO mereka tak dapat bergelar menteri dalam kerajaan perpaduan,” katanya.

Sambil menyindir, Nur Jazlan berkata kerana mahukan jawatan menteri itu DAP sanggup akur menerima sedikit sahaja kuota menteri dan timbalan menteri.

“PH dalam diam mengakui sememangnya mereka sudah jauh daripada sokongan pengundi Melayu terutamanya dengan ada DAP dalam gabungan itu. Survival mereka hanya bergantung kepada kerusi majoriti Cina dan kerusi campur untuk menang 80 kerusi pada PRU15 lalu. Jika mereka masih berlagak sombong dan berasa hebat, belum tentu mereka dapat jadi kerajaan lagi sekali selepas PRU-16.

“Ketika kepimpinan UMNO dan ahli akar umbi parti sudah mula berlapang dan terpaksa menelan segala prejudis menerima kerjasama antara UMNO dan PH membentuk kerajaan perpaduan, sepatutnya pemimpin serta ahli-ahli DAP, PKR dan AMANAH juga kena terus ‘berpura-pura’ menerima gabungan politik baru ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here