Pasangan suami isteri ditahan terlibat tujuh kes curi barang dalam kenderaan

0
177

POLIS menahan sepasang suami isteri di Taman Tasek Tambahan, Ampang petang semalam, yang disyaki terlibat dengan tujuh kes curi barang dalam kenderaan sekitar Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki berusia 40 tahun dan isterinya yang berumur 45 tahun itu ditahan di rumah mereka kira-kira pukul 3 petang susulan laporan polis mengenai kes pecah masuk sebuah kereta di Taman Bukit Teratai Selasa lepas.

Beliau berkata susulan penahanan dua penagih dadah itu, polis turut merampas beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, cermin mata, kamera, topi, beg tangan wanita pelbagai jenama, beberapa jam tangan, minyak wangi, dan kasut berjenama, keseluruhannya dianggarkan bernilai RM20,000.

“Siasatan awal mendapati ketujuh-tujuh kes berkenaan dilakukan oleh suspek lelaki sahaja. Isterinya didapati tahu akan kegiatan jenayah suaminya… Kedua-dua suspek yang tidak bekerja dipercayai mendapatkan bekalan dadah hasil jualan barang yang dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini

Katanya pasangan itu didapati mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here