Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Wanita 91 tahun dibunuh selepas disamun -

Wanita 91 tahun dibunuh selepas disamun

SEORANG wanita warga emas ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian samun di Kilometer 16 Kampung Pulai Darat, Merlimau di sini pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, mangsa, Misah Md Amin, 91, ditemui terbaring di bahagian dapur rumah sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

“Polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada jam 3.54 pagi yang memaklumkan ada kejadian samun sehingga menyebabkan kematian di sebuah rumah.

“Sebaik sampai di lokasi, mangsa yang tinggal seorang diri didapati telah pun meninggal dunia dan mayatnya kemudian dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, bertindak atas maklumat awam, seorang suspek berusia 20 tahun berjaya diberkas di kawasan berhampiran pada jam 8 pagi.

Tambahnya, suspek merupakan penganggur dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau termasuk kes samun di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya lapor Sinar Harian.