Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Isu pemimpin kerajaan Terengganu tidak sambut kehadiran PM hanya ‘terlebih sudu daripada kuah’ -

Isu pemimpin kerajaan Terengganu tidak sambut kehadiran PM hanya ‘terlebih sudu daripada kuah’

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

MINGGU lalu kecoh seluruh Terengganu apabila kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negeri ini dikatakan tidak mendapat perhatian serta kerjasama sewajarnya daripada para pemimpin kerajaan negeri.

Malah, ada pihak mendakwa, apa yang mengecewakan selain Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kelibat anggota Exco dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas juga tidak kelihatan.

Susulan itu, maka ‘berperanglah’ para netizen menerusi medium media sosial dalam memperdebatkan isu tersebut.

Ada yang mengatakan dakwaan mengenai isu berkenaan secara sengaja diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak sehaluan dengan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pas.

Selain itu, ada juga mengatakan dakwaaan itu hanya bersifat ‘terlebih sudu daripada kuah’.

Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

Isu itu dikatakan mula tercetus setelah Pakatan Harapan (PH) Terengganu mengeluarkan kenyataan mendakwa tindakan pimpinan kerajaan negeri yang tidak kelihatan sewaktu kehadiran PM ke negeri ini pada Khamis lalu sebagai biadab dan tidak menghormati tetamu.

Justeru, Ketua Penerangan PH, Mohd Sufian Mat Ali menganggap, ketiadaan MB dan exco kerajaan negeri dilihat seperti meremehkan kunjungan pertama pemimpin utama negara ke Terengganu selepas dilantik sebagai PM.

Menurutnya, alasan tiada makluman rasmi daripada pejabat Perdana Menteri (PMO) dianggap sebagai tidak berasas memandangkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil hadir bagi menyambut PM.

Ketika menjawab isu berkenaan, Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa kerajaan negeri sebenarnya menerima kehadiran PM dengan menyediakan keperluan sepertimana diminta oleh Pejabat Perdana Menteri.

Sambil menafikan dakwaan berlakunya masalah antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam isu berkenaan beliau menyatakan, secara asasnya beliau tahu PMO ada hubungi kerajaan negeri, namun tidak dimaklumkan secara jelas tujuan kedatangan serta siapa yang dilibatkan.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Disebabkan perkara itu ketika kunjungan PM baru-baru ini persiapan yang diberikan adalah dari segi logistik dan pengangkutan sepertimana diminta.

Oleh itu, Ahmad Samsuri ketika bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera, di Kuala Berang menyifatkan isu tersebut telah selesai dan tidak perlu diperbesarkan kerana ia hanya masalah komunikasi.

Sehubungan itu, beliau juga meminta semua pihak agar tidak memanjangkan isu tersebut sambil menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak.

Dengan penjelasan ini diharap tiada lagi pihak-pihak yang cuba memanjang serta memperbesarkan isu tersebut dengan hasrat untuk ‘melaga-lagakan’ antara kerajaan Persekutuan dengan negeri. – SB