Tuntutan palsu: Pengerusi koperasi direman enam hari

0
138

SEORANG pengerusi sebuah koperasi di Kedah direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran Projek Penternakan Lembu Tenusu di negeri ini melibatkan nilai RM20.3 juta pada 2015.

Perintah reman selama enam hari bermula hari ini terhadap lelaki berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, lelaki itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah pada pukul 3 petang semalam, berikutan maklumat terdapat beberapa syarikat dipercayai bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek berkenaan, pada 2015.

“Projek Penternakan Lembu Tenusu ini di bawah Kluster Tenusu Entry Point Project 13 (EPP 13) Economy Transformation Plan (ETP) yang bernilai RM20.3 juta…(tuntutan itu dibuat) kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sedangkan tiada pembekalan dibuat.

“RM20.3 juta ini merupakan nilai keseluruhan projek tersebut manakala nilai keseluruhan tuntutan dibuat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar itu masih dalam proses semakan dan siasatan lanjut lagi,” kata sumber berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi Bernama mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 11 Jan lalu, seorang pengarah sebuah syarikat berusia 51 tahun dan seorang pemilik sebuah lagi syarikat berumur 52 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here